PETA PEMIKIRAN

PETA PEMIKIRAN

Berdasarkan kajian kecerdasan, Peta Pemikiran mampu membantu menggabungkan proses pembelajaran secara kognitif dan persembahan maklumat secara visual dalam bentuk grafik. Peta pemikiran merupakan cabang alat berfikir yang dipersembahkan dalam 8 bentuk Peta Pemikiran secara visual yang mudah digunapakai dan difahami merentas kurikulum. Setiap Peta Pemikiran mempunyai proses pemikiran tersendiri. Antara jenis peta pemikiran adalah: 

1. PETA BULATAN (CIRCLE MAP)

Proses pemikiran untuk peta bulatan adalah dengan mendefinisikan mengikut konteks. Peta bulatan ini membantu kita untuk memberikan definisi untuk sesuatu benda atau idea yang utama. Dalam peta ini juga, kita boleh mengetahui konteksnya serta rujukan yang digunakan untuk mencapai maklumat tersebut. 

2. PETA BUIH (BUBBLE MAP)


Proses pemikiran untuk peta buih adalah dengan menerangkan kualiti sesuatu benda atau idea. Peta buih dapat membantu kita untuk menerangkan sesuatu benda atau idea. Pada masa yang sama, ia juga menunjukkan kita kata sifat yang paling sesuai untuk menerangkan tentang sesuatu benda atau idea. 

3. PETA BUIH BERGANDA (DOUBLE BUBBLE MAP)


Proses pemikiran untuk peta buih berganda adalah dengan membanding beza sesuatu benda atau idea. Peta ini dapat membantu kita untuk menunjukkan persamaan dan perbezaan antara dua benda atau idea pada masa yang sama. Peta ini juga dapat menunjukkan informasi untuk mana satu yang kita pilih dalam kedua-dua benda atau idea tersebut.

4. PETA POKOK (TREE MAP)


Proses pemikiran untuk peta pokok adalah dengan membuat pengelasan. Peta ini dapat menunjukkan kita isi utama, isi sokongan, dan maklumat berkenaan dengan informasi yang kita cari. 

5. PETA DAKAP (BRACE MAP)

Proses pemikiran untuk peta dakap adalah dengan membuat hubungan yang menyeluruh dari sebuah bahagian yang besar ke bahagian-bahagian yang kecil. Dengan peta ini, kita dapat mengetahui apakah komponen atau bahagian yang membentuk sesuatu benda atau idea.

6. PETA ALIR (FLOW MAP)

Proses pemikiran untuk peta alir adalah melalui urutan. Melalui peta ini, kita dapat mengetahui apakah yang berlaku serta apakah urutan bagi sesuatu peristiwa yang berlaku. Kita juga dapat mengetahui peringkat-peringkat perkembangan bagi suatu idea itu.

7. PETA PELBAGAI ALIR (MULTI-FLOW MAP)

Proses pemikiran untuk peta pelbagai alir adalah untuk membincangkan sebab dan kesan. Kita dapat mengetahui apakah yang menyebabkan suatu perkara tersebut berlaku serta kesan-kesan perkara tersebut. Tambahan pula, kita juga dapat mengetahui apakah yang mungkin berlaku. 

8. PETA TITI (BRIDGE MAP)

Proses pemikiran untuk peta titi adalah sebagai suatu analogi, iaitu untuk menghubungkan suatu perkara yang mempunyai hubungan yang sama dan mencari faktor untuk perkara tersebut. Dengan peta ini kita dapat mencari perkaitan atau analogi antara suatu benda atau idea. 

Comments

Popular posts from this blog

Selamat Datang Ke Blog Saya